Monday, September 17, 2012

Luahan hati

Hebat dugaan emosi Kau berikan padaku ketika ini ya Allah. Aku mohon agar Kau dapat pelihara hatiku ini agar tidak meletakkan cinta yang lain lebih tinggi dari cintaMu. Ya Rahman dengan sifat kasih sayangmu aku meminta agar hati ini sentiasa tenang dan redha dengan setiap ketentuanmu. Ya rab aku tidak ada tempat mengadu selain Kau. Aku tidak peduli jika semua orang memandang hina aku asalkan Kau tidak memandang hina pada diriku. Aku sedar Ya Allah pada ketika ini aku diuji.Kuatkan imanku untuk melawan kelemahan diri. Tingkatkan kefahamanku untuk aku lebih mengenalmu. Ya rab tetapkanlah iman ku dan tetapkanlah aku di jalan dakwahmu. Kau tahu perjalananan aku menemui hidayahmu. Sungguh ianya bukan mudah.Tetapi aku tahu Kau menyayangi diriku. Berkali-kali jauh dan jatuh tetapi kemudian berkali-kali Kau tarik aku kembali agar mengingatiMu.

Aku yakin bahawa perjalanan ini tidak sia-sia. Ada sebab musababnya Kau pertemukan aku dengan insan tertentu agar aku tidak terus terleka. Ada sebab musababnya Kau letakkan aku ke dalam suatu situasi yang kadangkala aku rasa agak sesak dan berat untuk aku lalui. Kau mahu aku belajar sesuatu cuma mungkin aku adalah pelajar yang lambat untuk menangkap maksudMu itu.

Ya Muhaimin peliharalah hati ini Ya Allah agar ikhlas berjuang semata-mata mengharap redhaMu dan bukannya redha manusia. Kau lebih mengetahu apa terbaik untukku. Jadi aku pasrahkan segala pengharapan aku hanya kepadamu.Bantulah aku Ya Allah. Insan yang kerdil ini dalam mencari redha mu.

No comments:

Post a Comment