Monday, February 18, 2013

Jaulah ke Bandung


Sebenarnya minggu lepas saya sempat berjaulah ke Indonesia ( Bandung)  bersama keluarga. Hmmm memang best. Tetapi saya tidak berminat untuk berkongsikan perjalanan saya di Bandung disini. Apa yang saya ingin kongsikan disini adalah kebesaran jiwa penduduk Indonesia yang saya nampak kurang pada rakyat Malaysia.

Pada mereka yang  berada pernah ke Indonesia anda pasti mengalami situasi anda dikerumuni dan diekori oleh mereka yang begitu gigih menjual barangan mereka kan? Bagaimana perasaan anda ketika itu? Rasa rimas kan diekori dan ditambah pula terpaksa mendengar pelbagai fakta mengenai produk mereka? Saya sejujurnya begitu kagum dengan mereka ini. Kerana mereka tidak pernah mengenal erti putus asa dalam menjual produk mereka walaupun risiko untuk dimaki amat tinggi sekali. Malahan mereka tetap juga bercoleteh sehingga kita masuk ke pintu kereta dan tidak berputus asa. Bayangkan anda diposisi mereka? Bolehkah anda melakukan sedemikian rupa? Dahla muka pembeli masam dan bengis macam singa…Rasa tak payahla kot. Baik duduk diam-diam sahaja. Melihat keadaan seperti itu maka saya tidak hairan mengapa  pengerak  dakwah di Indonesia lebih laju bergerak berbanding dengan kita di Malaysia. Malah melalui pengalaman saya sendiri, saya disentuh oleh akhwat Indonesia pada peringkat permulaan. Ah rindunya saya pada dia. Kegigihan dia menghadiri kelas-kelas  meskipun tiada kenderaan amat saya kagumi. Mungkin sebab itu Allah aturkan saya bertemu dengan dia. Bagi saling lengkap melengkapi.
Jangan terkejut kami sendiri mengubah keputusan kami disaat-saat akhir untuk membeli apabila diasak berkali-kali.  Kita mudah menyerah apabila orang yang kita cuba tarik menolak ajakan kita tanpa munasabah kenapa mereka menolak ajakan kita. Mungkin sahaja cara kita salah. Mungkin sahaja kita secara tidak sengaja menguris perasaan mereka dan mengajak mereka secara kasar sedangkan Islam menyuruh kita berlembut dengan mad’u kita.

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".- Surah Taha ayat 44

Mungkin sahaja mereka sendiri melihat akhlak kita yang tidak mengambarkan apa kita katakan. Apa pun sebabnya hakikatnya Allah belum mahu mengetuk pintu hati mereka. Jadi sekiranya anda benar-benar menyayangi mereka ini jangan pernah berputus asa. Paling tidak anda boleh angkat tangan dan berdoa kepada pemilik hidayah untuk memberi  hidayah pada mereka. Seperti mana dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. mendoakan Saidana Umar agar beliau masuk Islam.  Jangan sekali-kali  menindakkan The Power of Doa kerana Allah pernah bersumpah bahawa Dia akan mengabulkan doa hambaNya.

Kemudian ketika mahu pulang daripada Pasar Baru ditakdirkan seorang wanita muda bersama anaknya meminta sedekah daripada saya. Sejujurnya saya pada ketika itu agak stress apabila ramai orang menyerbu kami untuk menjual barangan mereka. Ingin sahaja saya tidak mengendahkannya tetapi saya tidak dapat lakukan apabila dia menyebut bahawa Allah suka pada orang  memberi makan pada orang miskin. Saya terus matikan hasrat saya dan mencari  wang kecil untuk diberikan kepada dia. Terkejut saya sebaik sahaja memberi wang tersebut ( wang tidak seberapa pun nilainya) dia begitu gembira dan mendoakan saya dengan begitu jujur. Rasa nak menangis. Sebab wang tu hanya bernilai 1000 rupiah yang bersamaan RM0.33 tetapi doanya masyaallah panjang berjela-jela. Saya terus senyum kepadanya dan mengatakan untuk kamu juga. Kita kadang-kadang memandang enteng dengan golongan sebegini sehingga kita lupa bahawa doa mereka mungkin amat mustajab dan diangkat oleh Allah. Kita juga lupa bahawa sebahagian harta  kita sebenarnya ada hak mereka. Pada kita mereka ini malas dan tidak mahu berusaha sedangkan kita sendiri tidak tahu apa yang mereka lalui dalam kehidupan mereka. Malah mungkin sahaja  mereke mulia disisi Allah berbanding dengan kita insan yang selalu lupa dan alpa. Contohnya Uwais Al-Qarni yang doanya amat makbul dan diangkat oleh Allah. Malahan Rasulullah sendiri mengatakan beliau penghuni langit tetapi hidupnya hanya serdehana dan tidak dikenali oleh sesiapa. Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa Uwais Al-Qarni tidak meminta untuk menjadi kaya-raya sahaja  sekira mengetahui doanya amat mustajab. Jawapannya kerana dia menyedari bahawa hakikat dunia itu sementara sahaja.Malahan beliau keberatan untuk mendoakan agar Allah menyembuhkan peyakit sopaknya sekira tidak dipaksa oleh ibunya sendiri.Kadang-kadang kita terlalu berlumba-lumba untuk berdoa untuk dunia sehingga lupa untuk berdoa untuk akhirat. Kita lupa untuk meminta syurga Allah seolah-olah yakin kita akan masuk syurga tanpa rahmatNya. Kita lupa untuk meminta keampunan daripada Allah seolah-olah kita ni hamba Allah yang maksum sedangkan Nabi yang maksum itu beristighfar 70 kali sehari.

Terima kasih rakyat Indonesia. Kerana anda mendidik jiwa saya agar tidak berputus asa dan bersyukur dengan nikmat Allah. Anda mendidik saya dengan kebesaran jiwa anda yang mampu bersyukur dengan pemberian yang sedikit cumanya.Moga kita ketemu lagi wahai rakyat Indonesia.

No comments:

Post a Comment