Sebenarnya minggu lepas saya sempat berjaulah ke Indonesia (
Bandung) bersama keluarga. Hmmm memang
best. Tetapi saya tidak berminat untuk berkongsikan perjalanan saya di Bandung
disini. Apa yang saya ingin kongsikan disini adalah kebesaran jiwa penduduk
Indonesia yang saya nampak kurang pada rakyat Malaysia.
Pada mereka yang
berada pernah ke Indonesia anda pasti mengalami situasi anda dikerumuni
dan diekori oleh mereka yang begitu gigih menjual barangan mereka kan?
Bagaimana perasaan anda ketika itu? Rasa rimas kan diekori dan ditambah pula
terpaksa mendengar pelbagai fakta mengenai produk mereka? Saya sejujurnya
begitu kagum dengan mereka ini. Kerana mereka tidak pernah mengenal erti putus
asa dalam menjual produk mereka walaupun risiko untuk dimaki amat tinggi
sekali. Malahan mereka tetap juga bercoleteh sehingga kita masuk ke pintu
kereta dan tidak berputus asa. Bayangkan anda diposisi mereka? Bolehkah anda
melakukan sedemikian rupa? Dahla muka pembeli masam dan bengis macam singa…Rasa
tak payahla kot. Baik duduk diam-diam sahaja. Melihat keadaan seperti itu maka
saya tidak hairan mengapa pengerak dakwah di Indonesia lebih laju bergerak
berbanding dengan kita di Malaysia. Malah melalui pengalaman saya sendiri, saya
disentuh oleh akhwat Indonesia pada peringkat permulaan. Ah rindunya saya pada
dia. Kegigihan dia menghadiri kelas-kelas
meskipun tiada kenderaan amat saya kagumi. Mungkin sebab itu Allah
aturkan saya bertemu dengan dia. Bagi saling lengkap melengkapi.
Jangan terkejut kami sendiri mengubah keputusan kami
disaat-saat akhir untuk membeli apabila diasak berkali-kali. Kita mudah menyerah apabila orang yang kita
cuba tarik menolak ajakan kita tanpa munasabah kenapa mereka menolak ajakan
kita. Mungkin sahaja cara kita salah. Mungkin sahaja kita secara tidak sengaja
menguris perasaan mereka dan mengajak mereka secara kasar sedangkan Islam menyuruh
kita berlembut dengan mad’u kita.
"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan
kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".- Surah
Taha ayat 44
Mungkin sahaja mereka sendiri melihat akhlak kita yang tidak
mengambarkan apa kita katakan. Apa pun sebabnya hakikatnya Allah belum mahu
mengetuk pintu hati mereka. Jadi sekiranya anda benar-benar menyayangi mereka
ini jangan pernah berputus asa. Paling tidak anda boleh angkat tangan dan berdoa
kepada pemilik hidayah untuk memberi
hidayah pada mereka. Seperti mana dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. mendoakan
Saidana Umar agar beliau masuk Islam.
Jangan sekali-kali menindakkan
The Power of Doa kerana Allah pernah bersumpah bahawa Dia akan mengabulkan doa
hambaNya.
Kemudian ketika mahu pulang daripada Pasar Baru ditakdirkan
seorang wanita muda bersama anaknya meminta sedekah daripada saya. Sejujurnya
saya pada ketika itu agak stress apabila ramai orang menyerbu kami untuk
menjual barangan mereka. Ingin sahaja saya tidak mengendahkannya tetapi saya
tidak dapat lakukan apabila dia menyebut bahawa Allah suka pada orang memberi makan pada orang miskin. Saya terus
matikan hasrat saya dan mencari wang
kecil untuk diberikan kepada dia. Terkejut saya sebaik sahaja memberi wang
tersebut ( wang tidak seberapa pun nilainya) dia begitu gembira dan mendoakan
saya dengan begitu jujur. Rasa nak menangis. Sebab wang tu hanya bernilai 1000
rupiah yang bersamaan RM0.33 tetapi doanya masyaallah panjang berjela-jela.
Saya terus senyum kepadanya dan mengatakan untuk kamu juga. Kita kadang-kadang
memandang enteng dengan golongan sebegini sehingga kita lupa bahawa doa mereka mungkin
amat mustajab dan diangkat oleh Allah. Kita juga lupa bahawa sebahagian
harta kita sebenarnya ada hak mereka.
Pada kita mereka ini malas dan tidak mahu berusaha sedangkan kita sendiri tidak
tahu apa yang mereka lalui dalam kehidupan mereka. Malah mungkin sahaja mereke mulia disisi Allah berbanding dengan
kita insan yang selalu lupa dan alpa. Contohnya Uwais Al-Qarni yang doanya amat
makbul dan diangkat oleh Allah. Malahan Rasulullah sendiri mengatakan beliau
penghuni langit tetapi hidupnya hanya serdehana dan tidak dikenali oleh
sesiapa. Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa Uwais Al-Qarni tidak meminta
untuk menjadi kaya-raya sahaja sekira
mengetahui doanya amat mustajab. Jawapannya kerana dia menyedari bahawa hakikat
dunia itu sementara sahaja.Malahan beliau keberatan untuk mendoakan agar Allah
menyembuhkan peyakit sopaknya sekira tidak dipaksa oleh ibunya sendiri.Kadang-kadang
kita terlalu berlumba-lumba untuk berdoa untuk dunia sehingga lupa untuk berdoa
untuk akhirat. Kita lupa untuk meminta syurga Allah seolah-olah yakin kita akan
masuk syurga tanpa rahmatNya. Kita lupa untuk meminta keampunan daripada Allah
seolah-olah kita ni hamba Allah yang maksum sedangkan Nabi yang maksum itu
beristighfar 70 kali sehari.
Terima kasih rakyat Indonesia. Kerana anda mendidik jiwa
saya agar tidak berputus asa dan bersyukur dengan nikmat Allah. Anda mendidik
saya dengan kebesaran jiwa anda yang mampu bersyukur dengan pemberian yang
sedikit cumanya.Moga kita ketemu lagi wahai rakyat Indonesia.