Wednesday, March 14, 2012

Mustajabnya doa seorang ibu

Seperti yang diketahui kontrak aku tamat pada bulan April ni. 17 hb ni secara rasminya kontrak aku tamat di Motorola. Jenuh mencari kerja lain nampaknya. Apa pun aku nak kongsikan satu kisah hidup aku yang menarik yang aku lalui hari ini. Hari ni sebenarnya aku ada interview di Sime Darby. Seperti biasa aku memaklumkan kepada ibu aku dan segala kegelisahan aku. Ibu aku menjawab Shafiah doa pada Allah. Dia tahu yang terbaik untuk Shafiah. Aku meminta ibu aku mendoakan aku. Alhamdullilah interview berjalan dengan lancar dan aku mendapat markah penuh dalam ujian bertulis. Kalau nak ikutkan aku ni takde la terror sgt tapi entah dari mana Allah datangkan ilham. Sesudah selesai interview aku menelefon ibu aku untuk memaklumkan bahawa aku gembira dengan hasilnya. Ibuku menjawab itula mama baru buat solat hajat untuk Shafiah. Subhanallah. Padanla aku dapat menjawab dengan baik. Berkat doa ibu aku pada Pemilik Rezeki dengan izinNya interview berjalan lancar. Aku tak terkata apa-apa melainkan terima kasih. Ibu aku sentiasa ada disisi aku ketika aku memerlukannya dan sentiasa menyokong aku. Aku tak dapat bayangkan kalau Allah ambil harta yang dia pinjamkan pada aku. Ya Allah panjangkan umurnya dan berkati hidupnya. Kepada bakal ibu dan ibu-ibu luar sana sedarlah bahawa doa anda amat mustajab dan tiada hijab dengan Allah. Oleh itu jangan pernah jemu untuk berdoa untuk anak-anak anda dan jangan berputus asa.

Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam telah berpesan kepada kita betapa mustajab doa seorang ibu untuk anaknya. Dalam Sahih Muslim, baginya kisah seorang lelaki, Juraij, yang begitu kuat beribadah kepada Allah. Hari-harinya diisi dengan solat sunat. Beliau mempunyai tempat khas untuk solat - pondok kecil yang agak tinggi tempatnya.

Pada suatu hari, ibunya datang menziarahinya. Sambil mendongakkan kepalanya, si ibu memanggil anaknya: "Juraij, saya ibumu, cakaplah denganku!"

Juraij khusyuk beribadah dan berkata dalam hatinya: "Ya Allah, saya utamakan solatku atau ibuku?"

Juraij memilih meneruskan ibadahnya. Ibunya letih berteriak dan akhirnya meninggalkan tempat Juraij.

Esoknya ibunya datang dan memanggilnya lagi tetapi Juraij tidak mengendahkan dan terus beribadah.

Ibunya pulang ke rumah dengan rasa hampa dan marah dalam hatinya. Semasa itulah wanita itu berdoa: "Ya Allah, Juraij itu adalah anakkku, aku mahu bercakap dengannya tapi dia menolak bercakap denganku. Ya Allah, jangan engkau matikan dia kecuali Engkau tunjukkan padanya akan pelacur."

Ada gembala kambing yang sentiasa menggembala kambingnya di sekita pondok Juraij. Gembala kambing itu terserempak dengan 'bunga desa' yang cantik. Mereka berasmara sehingga wanita itu hamil dan akhirnya melahirkan anak. Namun gembala itu menghilang.

Semasa ditanya orang kampung, anak siapakah itu, wanita ini sekadar menuding ke arah pondok Juraij. Orang-orang kampung beramai-ramai mendatangi Juraij dan memanggilnya dengan marah. Juraij keluar kehairanan. Mereka menuduhnya berzina sehingga wanita itu melahirkan bayinya. Juraij bertanya: "Di mana bayi itu"

Maka mereka membawa bayi itu menghadapnya. Juraij berkata: "Tinggalkan aku untuk solat dan berdoa."

Sesudah itu, Juraij menepuk perut bayi dan bertanya: "Wahai bayi, siapakah bapamu?"

Dengan izin Allah, bayi itu menjawab: "Bapaku ialah gembala kambing di kampung ini."

Penduduk kampung terkejut dan malu kerana merobohkan pondok Juraij dek tertipu oleh wanita itu. Mereka berjanji akan membangunkan pondoknya dengan emas dan perak, namun Juraij menolak dan meminta pondok seperti asalnya.

Rasulullah menyatakan kisah Juraij menunjukkan betapa kuat doa seorang ibu, apatah lagi yang disakiti anaknya.

Banyak iktibar daripada kisah Juraij.

  • Kewajiban anak memenuhi panggilan ibu lebih utama dibandingkan menyempurkan ibadah sunat. Dengan hadith ini, dihukumkan menurut fiqah bahawa memenuhi panggilan ibu adalah wajib berbanding meneruskan solat sunat.
  • Doa ibu sangat mustajab - sama ada maksud baik atau tidak. Oleh itu, ibu perlu berhati-hati dan usah ikut perasaan.
  • Ibu harus sentiasa memantau dan mengambil tahu akan keadaan kehidupan anak-anaknya agar tidak terjadi salah faham antara kededuanya.
  • Ibu harus ssentiasa mendoakan kebaikan untuk anak-anaknya, terlebih lagi pada waktu solat dinihari.
  • Ibu harus sentiasa menjaga mulutnya dan usah mudah tersinggung - maafkanlah dan nasihatkan serta sentiasa berdoa untuk anaknya.
  • Sebagai pengasuh, ibu perlu dilengkapi ilmu demi memupuk anak yang soleh.
Seorang alim besar, Syeikh Sya`roni Ahmadi Al-Qudsy berkata: "Doa ibu adalah seperti jelmaan malaikat, bahkan ibu adalah seperti jelmaan malaikat yang nampak. Ertinya, hati-hatilah dengan doa ibumu kerana doanya begitu cepat dikabulkan oleh Allah subhanahu wa ta`ala."

Kepada ibuku Shariffah Aishah terima kasih kerana mendoakan aku. Moga doamu menjadi pelindung padaku.